Sunday, December 5, 2010

Sumbangan Perdana Menteri Malaysia

TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ (8 FEBRUARI 1903 - 6 DISEMBER 1990)

Beliau merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu (1955-1957) dan dilantik sebagai Perdana Menteri pertama selepas negara mencapai kemerdekaan (31 Ogos 1957 - 22 September 1970).

Dikenali oleh rakyat sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan Malaysia".

Tunku memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Di peringkat antarabangsa pula, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Persidangan Islam (OIC) pada tahun 1969 dan telah dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.



TUN ABDUL RAZAK BIN HUSSEIN (11 MAC 1922 - 14 JANUARI 1976)

Beliau merupakan Perdana Menteri kedua (22 September 1970 - 14 Januari 1976).

Beliau dikenang sebagai "Bapa Pembangunan Malaysia", bertepatan dengan pendekatan pentadbirannya yang memberi penekanan terhadap banyak aspek pembangunan negara khususnya dalam usaha menyatupadukan rakyat.

Antara inisiatif termasyhur beliau adalah:
(i) pelaksanaan Penyata Razak iaitu dasar pendidikan negara yang antara lainnya memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan; dan
(ii) Dasar Ekonomi Baru (NEP) (1971) yang bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional melalui strategi serampang dua mata iaitu:-
(a) membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
(b) menyusun semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi bagi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.




TUN HUSSEIN ONN (12 FEBRUARI 1922 - 29 MEI 1990)
Beliau merupakan Perdana Menteri ketiga (15 Januari 1976 - 16 Julai 1981).

Sebagai penghargaan terhadap usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, beliau turut dikenali sebagai "Bapa Perpaduan Malaysia ".

Dikenang sebagai seorang pemimpin yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum. Beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesiapa yang cuba mencetuskan kekacauan atau sentimen perkauman di dalam negara.



TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD (20 DISEMBER 1925 - KINI)

Beliau merupakan Perdana Menteri keempat (16 Julai 1981 - 30 Oktober 2003) dan merupakan pemimpin kedua di Asia Tenggara (selepas Presiden Suharto dari Indonesia) yang paling lama memegang jawatan ketua kerajaan iaitu selama 22 tahun.

Dikenali di Malaysia dan di peringkat antarabangsa sebagai "Dr. Mahathir", beliau dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia" atas jasa menggerakkan pemodenan negara untuk mewujudkan kemakmuran di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Antara usaha-usaha termasyhur beliau adalah:
(i) menubuhkan PROTON, syarikat automobil nasional yang pertama;
(ii) memodenkan dan memashyurkan nama Malaysia melalui projek-projek "landmark" seperti Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor - MSC);
(iii) menjadikan malaysia sebagai tuan rumah bagi persidangan dan sukan antarabangsa seperti Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM), OIC, Commonwealth Games 1998 dan sukan pemotoran antarabangsa Formula One Grand Prix;
(iv) meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara perindustrian baru (newly industrialized country) di dunia; dan
(v) memperkenalkan pendekatan strategik ekonomi yang berjaya membawa Malaysia keluar dari Krisis Ekonomi Asia 1997/98.


TUN ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI (26 NOVEMBER 1939 - KINI)

Beliau merupakan Perdana Menteri kelima (31 Oktober 2003 - 3 April 2009).

Dikenali rakyat dengan nama mesra "Pak Lah", beliau telah memperkenalkan pendekatan konsep Islam Hadhari yang bermatlamat mencapai kemajuan yang menyeluruh, bagi umat Islam dan juga Malaysia.

Pentadbiran beliau antara lain, telah menumpukan kepada pemulihan dan pemodenan sektor pertanian untuk menjamin bekalan makanan negara (food security). Selain itu, beliau turut menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan kredibiliti dan ketelusan pentadbiran.

Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran "Tun" dan dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


DATO SERI NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK

Transformasi 1Malaysia yang dijalankan sehingga kini memberi implikasi yang positif kepada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia

No comments:

Post a Comment